Assalamualaikum ana ucapkan kepa semua sahabat2. Alhamdulillah kepada ALLAH kerana memberi peluang kepada ana untuk menulis. Kali ni ana menulis tentang serba sedikit tentang Risalah yang dibawa oleh Nabi Nuh a.s yang terdapat dalam surah An-Nuh.

PENDAHULUAN

Surah Nuh mengandungi 28 ayat. Keseluruhan surah ini menceritakan perutusan Nabi Nuh A.S mnyampaikan dakwah kepada kaumnya. Surah ini juga menjelaskan pengalaman pahit getir dakwah Nabi Nuh menghadapi kedegilan dan kesesatan kaumnya yang hanyut di belakang pemimpin-pemimpin yang mempunyai kuasa, harta dan pengaruh yang kuat tetapi sesat dan angkuh untuk menerima kebenaran dan hidayat. Di samping itu, surah ini juga menggambarkan perjuangan yang penuh dengan kesusahan, kepenatan yang menuntut kepada kesabaran, pengorbanan dan kegigihan para rasul dalam menyebarkan dakwah kepada manusia yang sesat, degil, menderhaka, angkuh dan pandai membuat tipu daya dan helah.

SUMBER RISALAH & 'AQIDAH

Permulaan surah ini menjelaskan sumber risalah dan ‘aqidah dengan menceritakan perutusan kerasulan Nabi Nuh A.S utk mengembalikan kaumnya ke pangkuan Tauhid dengan memberi amaran dan peringatan yang amat jelas sebelum mereka ditimpa azab yang amat pedih. Nabi Nuh memulakan dakwahnya dengan menyeru kaumnya kepada ‘ubudiyah lillahi ta’ala dan menjadikan taqwa kepada Allah menguasai setiap perasaan dan tindak tanduk serta memberi ketaatan kepada Rasul. Pada ayat berikutnya, Nabi Nuh A.S menerangkan ganjaran ‘ubudiyyah kepada Allah, ketaqwaan kepada-NYA dan ketaatan kepada Rasul-NYA dengan mendapat keampunan dari dosa-dosa yang lalu juga penangguhan hisab hingga ke masa yang ditentukan oleh Allah iaitu hari Akhirat. Dan Nabi Nuh A.S menerangkan bahawa masa yang telah ditetapkan Allah itu adalah satu masa yang pasti datang apabila tiba waktunya dan tidak akan ditangguh lagi.

DAKWAH & PERJUANGAN NABI NUH A.S

Pada ayat 5 hingga 12, Nabi Nuh A.S menjelaskan tentang usaha-usaha dakwah dan perjuangannya yang panjang, yang gigih dan yang tidak putus-putus. Sebaliknya, kaumnya telah lari daripadanya dan terus degil mempertahankan kesesatan dengan menyumbat jari dalam telinga dan menutup muka dengan baju. Di samping itu, Nabi Nuh A.S menyampaikan dakwah secara berterusan dan mengambil segala peluang yang ada serta menggunakan segala cara dalam usaha menyampaikan dakwah secara terang-terangan dan secara sulit. Dan pada ayat 10, beliau menyeru agar kaumnya supaya mencari keampunan Allah. Kemudian, pada ayat seterusnya Allah menghubungkan antara istighfar dengan pemberian rezeki yang mewah. Di antara rezeki yang mewah ialah sumber air hujan yang lebat yang menumbuhkan tanam-tanaman dan yang mengalirkan air sungai, serta rezeki mendapat zuriat dan harta kekayaan.

BUKTI-BUKTI KEKUASAAN ALLAH

Pada ayat 13, beliau menarik perhatian kaumnya kepada bukti-bukti kekuasaan Allah dan mengemukakan persoalan kehairanan terhadap kelakuan mereka yang sewenang-wenang dan tidak menghormati Allah. Manakala ayat 14 pula menerangkan tentang peringkat-peringkat perkembangan manusia. Seterusnya ayat 15 beliau telah menarik perhatian kaumnya kepada penciptaan alam iaitu penciptaan tujuh langit yang bertingkat-tingkat. Pada langit tersebut terdapat bulan yang mengeluarkan cahaya dan matahari sebagai lampu yang terang. Manakala pada ayat 17 dan 18 Nabi Nuh A.S menarik perhatian kaumnya sekali lagi kepada kejadian diri mereka sendiri yang diciptakan dari tanah, kemudian mereka akan kembali ke tanah semula apabila mati dan akan dibangkitkan semula dari tanah selepas mati. Seterusnya Nabi Nuh A.S menarik perhatian mereka kepada nikmat kemudahan hidup di muka bumi yang luas.

PENGADUAN NBI NUH A.S KEPADA ALLAH

Bermula dari ayat 21-28 adalah pengaduan Nabi Nuh A.S kepada Allah setelah selama 950 tahun menyampaikan dakwah dengan penuh tekun dan sabar menghadapi kaumnya yang ingkar serta degil utk menerima kebenaran. Dalam pengaduan ini Nabi Nuh A.S menyatakan keingkaran kaumnya menerima hidayat setelah sekian lama diberi bimbingan, amaran dan peringatan serta ditawarkan janji-janji rezeki yang mewah, anak yang ramai serta kesenangan hidup, namun mereka tetap mengikut pemimpin-pemimpin yang sesat dan akibatnya tidak lain melainkan kerugian kepada mereka. Pemimpin-pemimpin itu juga melakukan berbagai-bagai tipu helah utk menambah kesesatan orang ramai. Di antara tipu daya mereka ialah mereka menggalakkan orang ramai supaya berpegang teguh dengan berhala-berhala yang dianggap mereka sebagai tuhan-tuhan. Pada ayat 25 dijelaskan akibat yang diterima oleh orang-orang yang zalim di dunia dan Akhirat dengan sebab kesalahan-kesalahan, dosa-dosa dan maksiat-maksiat, mereka ditenggelamkan di dalam banjir dan kemudian dimasukkan ke dalam neraka.

DOA NABI NUH KEPADA ALLAH

Pada ayat 26-28 barulah beliau mengakhiri doanya dengan sempurna dan rayuannya kepada Allah di akhir perjuangan dakwahnya yang panjang dan penuh kesulitan. Pada ayat 26 diungkapkan doa Nabi Nuh A.S memohon kepada Allah supaya menghapuskan sekalian manusia yang zalim hingga tiada seorang pun dibiarkan tinggal di muka bumi kerana jika dibiarkan mereka tinggal di muka bumi nescaya mereka akan menyesatkan yang lain. Nabi Nuh menutup doanya dengan memohon kepada Allah agar mengampunkan dosanya, kedua ibubapanya, mereka yang masuk ke dalam rumahnya dalam keadaan beriman dan sekalian mukmin dan mukminah. Manakala beliau mendoakan kepada orang-orang yang zalim supaya tidak ditambahkan sesuatu selain daripada kebinasaan.

IKHTIBAR & PENGAJARAN

Gambaran perjuangan Nabi Nuh A.S dalam surah Nuh ini dapat menjadi bekalan kepada para da’ie untuk meneruskan perjuangan dan pengorbanan mereka….walaupun penuh dengan ujian dan tribulasi serta terpaksa menempuhi kesusahan demi kesusahan…mereka tetap thabat di atas jalan ini kerana inilah satu-satu jalan yang dapat membawa manusia kepada Allah dan mendapat kebahagiaan yang hakiki di dunia dan di akhirat.

MARILAH SAMA-SAMA KITA MENGHAYATINYA.......
wallahu 'alam

0 comments:

Selamat Berkenalan

ALLAH Matlamat Utamaku

~ حيّ على الصلاة ~

Jom Solat..

Followers

Perkongsian


Islamic Hijri Calendar

Waktu Al-Quds

Sa'atul Misr

K.L time

TERNAKAN KITA..